Promosi

Promosi

Result

Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu

Beauty and The Beast Ditayang Tanpa Potongan 30 Mac



KUALA LUMPUR: Selepas kontroversi Walt Disney bertegas tidak mahu menayangkan Beauty And The Beast di Malaysia jika babak gay dipotong, filem itu kini
mendapat kelulusan untuk tayangan tanpa sebarang suntingan. 

Naskhah bercorak muzikal dan fantasi yang dihasilkan semula berdasarkan filem animasi dengan judul sama terbitan 1991 itu akan ditayangkan di bawah klasifikasi PG13. 

Pegawai Pemasaran Studio Entertainment, The Walt Disney Company (Malaysia) Sdn Bhd, Szujane Ng, berkata filem itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Mac ini. 

"Sukacita kami ingin mengumumkan filem Beauty and The Beast diluluskan untuk tayangan di Malaysia tanpa sebarang potongan, di bawah klasifikasi PG13. 

"Datanglah menonton pada tayangannya bermula 30 Mac ini. Kami menghargai sokongan yang diberikan," katanya menerusi kenyataan dikirimkan kepada BH Online, hari ini. 

Filem yang diangkat daripada kisah dongeng kurun ke-18 tulisan Jeanne-Marie Leprince de Beaumont itu mencetuskan kontroversi apabila pengarahnya, Bill Condon, memberitahu majalah Attitude, watak Le Fou lakonan Josh Gad ialah seorang lelaki gay. 

Pada 13 Mac lalu, media melaporkan beberapa rangkaian pawagam negara ini memaklumkan tayangan filem terbabit di Malaysia, yang sepatutnya bermula pada 16 Mac lalu, ditangguhkan tanpa menyatakan alasan tertentu.

Lembaga Penapisan Filem (LPF) pula menyatakan, mereka meluluskan tayangannya dengan membuat sedikit suntingan kerana filem terbabit mempunyai unsur LGBT, selain memberikannya klasifikasi P13. 

Kemudian, pihak Walt Disney pula menegaskan lebih rela tidak menayangkan filem terbabit di negara ini daripada memotong babak berkenaan. 

Beauty and The Beast menampilkan pelakon utama seperti Emma Watson sebagai Belle, Dan Stevens (Beast) dan Luke Evans (Gaston).










No comments:

Post a Comment